Wednesday, June 17, 2009

Kerja Kursus - JUL401 - Bahasa Malaysia

PUSAT PENGAJIAN PENDIDIKAN JARAK JAUH
UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

SIDANG AKADEMIK 2009/2010

JUL 401 – BAHASA MALAYSIA

KARANGAN

ARAHAN:

i. Pilih SATU (1) daripada tajuk di bawah.
ii. Tulisan Times New Roman, Fon 12 dan ditaip langkau dua baris.
iii. Panjang karangan antara 500 hingga 600 patah perkataan sahaja. Nyatakan jumlah perkataan pada bahagian akhir karangan (... perkataan).
iv. Tulis semula soalan yang anda pilih pada kertas jawapan.
v. Tugasan ini mesti SAMPAI DI PPPJJ PADA 05 OKTOBER 2009.
vi. Markah 0 akan diberi jika tugasan sampai selepas tarikh ini.


1. Bencana alam seperti banjir kilat, tanah runtuh dan pemanasan global adalah kesan daripada perbuatan manusia sendiri.

Berikan pendapat anda.

2. Yang merah itu saga,
Yang kurik itu kundi,
Yang indah itu bahasa,
Yang molek itu budi.

Huraikan maksud pantun di atas.

3. Peranan parti pembangkang adalah penting dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi.

Bincangkan.

4. ‘Sejarah sering kali berulang’. Slogan ini adalah benar jika kita mengkaji dan membandingkan sejarah masa lampau dengan beberapa peristiwa yang berlaku pada hari ini.

Berikan pendapat anda.

5. Kelembapan ekonomi dunia memberikan kesan negatif terhadap negara-negara sedang membangun. Dalam konteks Malaysia, pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh kerajaan agar kesan ini dapat dibendung.

Bincangkan.
Lampiran II

ARAHAN:

i. Baca petikan di beri dengan teliti. Kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan ringkas dan tepat.
ii. Panjang jawapan anda TIDAK lebih 50 patah perkataan bagi setiap soalan.
iii. Markah diberi berdasarkan hujahan dan penggunaan tatabahasa yang betul dan tepat.


KEFAHAMAN BACAAN

Setiap kali menjelang musim perayaan, masalah kenaikan harga yang berlebihan menjadi isu utama yang dibincangkan dalam media massa. Kebiasaannya, permintaan terhadap sesetengah barang meningkat dengan mendadak, khasnya bagi bahan makanan yang banyak digunakan sewaktu musim perayaan, seperti sayur-sayuran, ikan, ayam, dan daging. Mengikut teori ekonomi, peningkatan permintaan yang berlaku secara berterusan tanpa disertai peningkatan penawaran akan menyebabkan berlakunya peningkatan harga. Pengguna pula sewajarnya mempunyai maklumat yang mencukupi tentang fenomena kenaikan harga barangan agar mereka dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kerakusan peniaga yang gemar menangguk di air keruh.

Kenaikan harga barangan boleh berlaku disebabkan oleh beberapa punca. Bencana alam boleh menyebabkan kekurangan bekalan makanan. Dalam situasi ini, penawaran akan berkurangan manakala kadar permintaan tidak mengalami perubahan. Kenaikan harga barangan secara semula jadi juga berlaku apabila penduduk bertambah secara mendadak sedangkan bekalan barangan tidak dapat diatasi dengan meningkatkan penawaran melalui usaha menambah bekalan barangan yang mengalami kekurangan.

Faktor manusia turut memainkan peranan yang cukup besar dalam mempengaruhi kenaikan harga, terutamanya pada masa tertentu. Realiti kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama telah mewujudkan pelbagai perayaan. Hal ini memberi kesempatan kepada sesetengah peniaga yang tidak bertanggungjawab untuk menaikkan harga secara berlebihan pada musim perayaan. Menyedari hakikat ini, pihak kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah melaksanakan skim kawalan harga bagi menstabilkan harga dan memastikan pengguna tidak menghadapi masalah kenaikan harga barangan keperluan yang melampau. Pada musim perayaan, kerajaan telah mewartakan beberapa jenis barangan keperluan sebagai barangan kawalan. Tindakan ini adalah mengikut Akta Kawalan Harga 1946 yang menetapkan agar semua barangan kawalan hendaklah dilabelkan dengan tanda harga berwarna merah jambu sepanjang tempoh penguatkuasaan berkenaan. Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mereka yang melanggar peraturan yang ditetapkan.

Kejayaan menangani kenaikan harga barangan banyak bergantung kepada tahap kesedaran pengguna terhadap kuasa beli yang dimiliki oleh mereka. Selain itu, sebagai ejen utama dalam ekonomi yang mewujudkan permintaan, pengguna perlu memiliki maklumat yang secukupnya tentang peranan yang harus dimainkan oleh mereka dalam melengkapkan inisiatif yang telah diambil oleh pihak kerajaan bagi membanteras masalah ini. Selain bertindak sebagai pemantau harga, pengguna seharusnya menyedari hak mereka untuk mendapatkan bekalan yang mencukupi dengan membuat laporan dan aduan tentang masalah yang berkaitan kenaikan harga yang didakwa berlaku disebabkan kekurangan bekalan. Pengguna juga tidak seharusnya teragak-agak untuk menyuarakan aduan tentang amalan perniagaan yang tidak beretika dan penyelewengan yang dilakukan oleh pihak peniaga. Hak pengguna ini tertakluk di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang dikuatkuasa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Buletin Perlindungan Pengguna, November 2002)

1. Pada pendapat anda, bagaimanakah kuasa beli yang dimiliki oleh pengguna mampu membendung kenaikan harga barang?

2. Bersetujukah anda dengan pendapat yang mengatakan bahawa ‘Akta Perlindungan Pengguna 1999’ gagal berfungsi sebagai pelindung hak pengguna.

Berikan hujahan anda.




JUL401 [PA+T] 2009.10
18Mei2009 - YCL/sari

**** Sila dapatkan maklumat lengkap di dalam portal.

No comments: